Pages

Monday, August 1, 2011

Penyusuan Ibu: Ayah, susukanlah saya!


Penyusuan Ibu: Ayah, susukanlah saya!0 komen

Oleh admin
Posted pada 31 Jul 2011 pada 2:57pm
artikel ini ditulis oleh Suria Irdayu Ahmad Zaidi, Pembimbing Ibu Menyusu dari Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu,  Sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia  “Berkomunikasilah Dengan Saya! Penyusuan Ibu: Satu Pengalaman 3D”


Nama juga sudah penyusuan ibu, sudah tentu tugas itu adalah tugas ibu. Cliché! Betul, secara fisiologi dan tabii memang penyusuan ibu itu dilakukan oleh ibu tetapi keputusan untuk menyusu ibu atau tidak, siapa yang patut menyusukan si anak dan menanggung perbelanjaan isteri yang menyusu ibu atau perbelanjaan ibu susuan adalah tugas mereka yang diseru dengan panggilan ayah/abah/papa/daddy/abi/abati.
Mengapa Ayah?
Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang ayah (menderita) kerana anaknya. Ahli waris pun (berkewajiban) seperti itu pula. Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan permusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin menyusukan anakmu kepada orang lain, maka tidak ada dosa bagimu memberikan pembayaran dengan cara yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-Baqarah:233)
Dari sudut seerah para Anbiya’, kita lihat Penyusuan Nabi Musa AS dan Penyusuan Nabi Muhammad SAW.
Nabi Musa AS dipungut oleh keluarga Firaun dan telah dipersetujui oleh Firaun untuk isterinya memelihara Nabi Musa AS. Firaun sebagai raja yang mengaku Tuhan itu telah bertanggungjawab untuk memanggil wanita-wanita yang mahu menyusukan Nabi Musa AS dan akhirnya dengan izin Allah, Nabi Musa AS disusukan sendiri oleh ibunya.
Nabi Muhammad SAW pula lahir sebagai anak yatim. Tanggungjawab sebagai ayah telah digalas oleh datuknya Abdul Mutalib. Dialah yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk menyerahkan Nabi Muhammad SAW kepada ibu susua dan dia jugalah yang keluar mencari ibu susuan untuk Nabi Muhammad SAW. Ramai wanita-wanita yang ditanya enggan menyusukan Nabi Muhammad SAW kerana Baginda tidak mempunyai bapa. Namun, Halimatun As Saadiah tidak mahu pulang dengan tangan kosong, menerima tawaran Abdul Mutalib untuk menyusukan Nabi Muhammad SAW.


Dari ayat Al-Quran dan dua kisah di atas, kita dapat lihat peranan ayah/datuk dalam penyusuan ibu. Mereka harus menyokong dan menanggung ibu dan anak dalam tempoh penyusuan tersebut. Mereka juga harus mencari ibu susuan sekiranya isteri enggan atau tidak mampu untuk menyusukan anak mereka. Tugas ini juga harus digalas oleh waris / pengganti si ayah seperti yang dilakukan oleh Abdul Mutalib, datuk Nabi Muhammad SAW sekiranya si anak lahir sebagai anak yatim. Peranan yang digalas oleh ayah dalam penyusuan ibu ini jelas sekali mengangkat kedudukan ayah sebagai ketua keluarga dan pengemudi bahtera rumahtangga. Mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam penyusuan ibu ini kerana mereka harus bertanggungjawab memberikan makanan yang terbaik untuk isteri dan anak yang baru dilahirkan. Sudah tentu makanan yang terbaik untuk bayi ialah susu ibu yang tinggi khasiatnya, dijadikan sesuai dengan keperluan bayi mengikut masa dan mudah diperolehi.


Namun, keputusan yang harus dibuat dan disepakati bersama ini sering diabaikan oleh  ibubapa disebabkan oleh kurang kesedaran dan pendedahan akan keperluan tabii si anak yang bakal lahir kepada penyusuan ibu. Apatah lagi dengan lambakan iklan-iklan susu formula di televisyen dan pemasaran yang efektif yang mereka lakukan di hospital-hospital khususnya dalam bentuk pemberian saguhati dan contoh susu formula secara percuma di kelas antenatal yang nyata bercanggah dengan tataetika pemasaran susu formula.
Sekiranya bayi yang baru lahir itu boleh berkata-kata, mungkin ayat ini yang akan diungkapkan kepada si ayah.
“Ayah, susukanlah saya!”

Suamiku..tulang belakangku...He is my friend, my guidance, my ALL...

No comments:

Post a Comment